KUALA LANGAT – Sistem Binaan Berindustri (IBS) digital bakal membantu kerajaan memenuhi sasaran satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, inovasi dan teknologi dalam IBS digital yang terdiri daripada model maklumat bangunan (BIM) dan alat reka bentuk dalam talian membolehkan pemaju membina rumah dalam tempoh lebih singkat tanpa mengabaikan kualitinya.
Tambahnya, ia juga mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan aliran keluar wang ke luar negara.
“Teknologi IBS digital tepat pada masanya selaras dengan perkembangan revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang merupakan trend terkini automasi dan teknologi pembuatan semasa.
“Selain itu, memberikan peluang meningkatkan dan menyediakan tenaga kerja tempatan untuk masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan kilang Gamuda IBS digital di Banting di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. A. Xavier Jayakumar dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling.
Mahathir memberitahu, Dasar Perumahan Negara (2018-2025) memberi tumpuan kepada isu perumahan kos rendah bersrata di seluruh negara dengan menyeragamkan agensi bagi menyelaras kejayaannya.
Ujar beliau, kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) adalah tumpuan utama dasar tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Justeru, amat penting bagi kerajaan persekutuan dan negeri bekerjasama dalam menyediakan tanah bagi pembinaan rumah tersebut.
“Kerajaan juga telah melaksanakan program dan polis seperti penubuhan Majlis Perumahan Mampu Nasional, Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan, Dasar Komuniti Kebangsaan dilaksanakan bagi menangani isu perumahan di kalangan golongan sasaran,” katanya.
Dalam pada itu, Mahathir menjelaskan usaha Gamuda Berhad perlu dipuji kerana mengeluarkan pelaburan lebih RM500 juta bagi pembinaan dua kilang berteknologi tinggi. – K! ONLINE











