KUALA LUMPUR 2 Mei – Teras Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Nikkei Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan pada April, iaitu tertinggi sejak September 2018 didorong pengembangan tempahan eksport.
Nikkei berkata, aliran meningkat pada April merupakan yang tertinggi sejak September 2018, mencatatkan 49.4 berbanding 47.2 pada Mac untuk kembali ke purata jangka panjangnya.
“Peningkatan PMI secara menyeluruh menunjukkan pertumbuhan dalam negara kasar meningkat kepada hanya lebih lima peratus menurut perbandingan dari segi sejarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kunci kepada peningkatan dalam PMI dipacu oleh permintaan asing yang bertambah baik pada April, sedangkan beberapa bulan sebelumnya mencatatkan perniagaan kurang memberangsangkan.
“Tempahan eksport baharu meningkat buat pertama kalinya dalam tempoh lima bulan. Muatan lebih tinggi daripada sumber luar negara didorong oleh perniagaan yang diraih di Eropah, Amerika Syarikat dan negara di Asia seperti Singapura dan Jepun,” katanya.
Nikkei juga berkata, peningkatan jualan eksport turut membantu memacu indeks tempahan baharu yang secara keseluruhan meningkat kira-kira 3.6 mata ke paras tertinggi sejak September, peningkatan terbesar bagi tempoh sepuluh bulan.
“Tekanan terhadap pemilik kilang untuk mengurangkan pembesaran kapasiti bagaimanapun menyederhana, dengan indeks output melonjak 1.9 mata (kenaikan tertinggi bagi tempoh hampir satu setengah tahun), mencecah paras tertinggi sejak Oktober lepas,” katanya.
Selari dengan unjuran lebih positif, Nikkei berkata, pemilik kilang meningkatkan pengambilan pekerja, dengan kadar penggajian meningkat pada April pada kadar terpantas dalam tempoh tujuh bulan, dengan pelaburan bagi jentera baharu dan pembesaran kilang dilaporkan telah mendorong pengambilan lebih banyak pekerja.
“Dalam bulan yang harga minyak terus naik, pengeluar-pengeluar melaporkan buat pertama kalinya mencatatkan peningkatan purata kos input setakat ini pada tahun ini. Purata harga jualan turut meningkat, walaupun tekanan terhadap harga secara relatifnya tidak ketara berikutan kelembapan permintaan global bagi banyak negara terus membantu mengurangkan tekanan inflasi.
“Masa penyerahan bekalan turut bertambah baik untuk dua bulan berturut-turut, mengimbangi kelemahan permintaan terhadap bekalan yang telah menjejaskan kuasa dalam penetapan harga,” katanya. – BERNAMA











