KUALA LUMPUR 2 Mei – Sindiket bomoh kembali dengan menjadikan dua wanita sebagai mangsa membabitkan kerugian mencecah RM292,000 dalam dua kes berasingan sejak 11 April lalu.
Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani berkata, kedua-dua mangsa merupakan peniaga dan suri rumah yang berusia 55 dan 64 tahun.
Menurutnya, kes pertama berlaku di Padawan apabila mangsa terserempak tiga wanita yang kononnya mahu mencari daun untuk mengubati kulit anak kepada seorang daripada mereka.
“Mangsa 55 tahun itu langsung tidak mengesyaki dirinya diperdaya, malah terus berbual mesra dengan suspek sehingga dia diberitahu bahawa rumahnya di Jalan Stephen Yong turut didiami hantu sejak sembilan tahun lalu.
“Mangsa kemudian terus diperdaya mengenai ‘hantu’ tersebut sehingga suspek menawarkan bantuan untuk mengadakan upacara menghalau hantu tersebut dengan syarat mangsa perlu mengeluarkan kesemua wang simpanan dan diserahkan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyatan, semalam.
Ujar Mustafa Kamal, mangsa kemudian mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM180,000 di sebuah bank seterusnya menyerahkan pelbagai barangan kemas kepada suspek di tempat letak kereta di MJC Batu Kawa. dan seterusnya dia diberikan.
“Suspek kemudian menyerahkan satu bungkusan yang dikatakan berisi wang dan barangan kemas mangsa berserta syarat bahawa bungkusan tersebut hanya boleh dibuka selepas seminggu.
“Perkara tersebut bagaimanapun terbongkar seminggu kemudian apabila mangsa mendapati hanya terdapat dua botol air mineral dan empat kotak air dalam bungkusan tersebut. Mangsa telah membuat laporan polis Selasa lalu,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Mustafa Kamal, kes kedua dilaporkan menimpa seorang suri rumah yang mencatatkan kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan bomoh yang mendakwa ahli keluarganya akan ditimpa bencana.
“Suspek menggunakan modus operandi yang sama dan menyedari diperdaya selepas membuka bungkusan diserahkan kepadanya selepas 52 hari yang hanya mengandungi empat botol air mineral dan pasir yang dibalut dalam surat khabar lama,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN ONLINE











