JOHOR BAHRU 2 Mei – Seorang wanita mati tersepit setelah kereta dipandunya merempuh sebuah treler yang berada di lorong kecemasan di Kilometer 83, Lebuhraya Utara Selatan, Arah Utara, pagi tadi.
Ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shalneeraj Abdullah bersama-sama enam anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada pukul 3.07 pagi.
“Ketika tiba di lokasi didapati sebuah kereta melanggar belakang sebuah treler yang berada di lorong kecemasan. Pemandu wanita berusia 21 tahun itu didapati maut di tempat kejadian.
“Pemandu kereta telah tersepit dan keluarkan oleh pihak bomba. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya dan operasi ditamatkan pada 4.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE











