KUALA LUMPUR 1 Mei – Kumpulan Bank Dunia menggesa Malaysia untuk mengurangkan kebergantungannya kepada pendapatan berkaitan minyak dan gas (O&G) serta perlu mempelbagaikan sumber pendapatan untuk mengurangkan kejutan pada masa hadapan.
Ketua Ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Richard Record berkata, sebagai sebahagian daripada usaha penyepaduan fiskal Malaysia, terdapat beberapa pembaharuan perlu dilaksanakan termasuk peralihan kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Beliau berkata, peningkatan pergantungan kepada O&G bermakna Malaysia lebih terdedah kepada perubahan dalam harga minyak dan gas.
“Sekiranya kejutan besar berlaku, ia akan memberi kesan terhadap hasil sektor awam dan itu adalah sesuatu yang perlu difikirkan untuk jangka masa sederhana.
“Begitu juga, ekonomi Malaysia amat pelbagai dan menyediakan sumber kekuatan, kami ingin menggalakkan kerajaan untuk mempelbagaikan sumber hasil dan perlu menjadi lebih berdaya tahan terhadap kemungkinan kejutan pada masa depan,” katanya pada sesi taklimat mengenai Perkembangan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik di sini baru-baru ini.
Selain itu Record turut menasihatkan kerajaan untuk memberi tumpuan pada asas-asas penting ekonomi berbanding ketidaktentuan jangka pendek seperti nilai ringgit.
Beliau berkata, asas penting ekonomi yang pelbagai mendapat manfaat daripada pertumbuhan pelbagai sumber, domestik dan asing, pembuatan untuk eksport, penggunaan domestik serta pelbagai sektor dan bidang.
“Mungkin, tumpuan patut diberikan untuk memperkukuhkan asas-asas berkenaan dan bagaimana Malaysia boleh meningkatkan produktiviti dan daya saingnya dalam jangka sederhana, dan ini akan memacu kadar pertukaran dalam jangka masa sederhana,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, penyusutan nilai ringgit kini memberi manfaat kepada daya saing luaran negara.
“Kadar pertukaran yang semakin lemah bagaimanapun agak membantu dari segi daya saing luaran ketika pertumbuhan global perlahan. Adalah tidak menyakitkan untuk mempunyai kadar pertukaran yang lemah dari segi prestasi eksport,” katanya.











