LONDON – Pemain tengah Ajax, Donny Van de Beek menjelaskan pasukannya akan menunjukkan jalan keluar kepada Tottenham Hotspur pada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) di laman sendiri minggu depan biarpun hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 pada aksi pertama di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Van de Beek muncul pemain ketiga termuda Ajax berjaya mencatat nama sebagai penjaring UCL di peringkat separuh akhir selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-15 berjaya memastikan pasukan itu mendapat kelebihan satu gol sebelum aksi kedua di Amsterdam.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu enggan memikirkan tentang perlawanan final sebelum memastikan pasukannya benar-benar berjaya menyingkirkan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu di separuh akhir.
“Kemenangan ini sangat bermakna buat kami. Pada 30 minit babak pertama kami bermain dengan baik. Selepas itu, Spurs mula mengubah taktik dan memberi masalah kepada kami.
“Jaringan 1-0 ini sudah cukup bagus. Minggu depan kami akan menyudahkannya di laman sendiri. Namun, kami perlu membuat perancangan yang betul pada pertemuan kedua nanti,” jelas Van De Beek.
Pada masa sama, Van de Beek turut yakin Ajax mampu menunjukkan persembahan yang lebih baik biarpun mereka terlepas beberapa peluang menambah jaringan termasuk percubaan terbaik David Neres.
“Kami boleh memenanginya dengan lebih baik selepas ini meskipun sepatutnya kami boleh mencatat keputusan 2-0 pada aksi pertama jika percubaan Neres tidak terkena tiang.
“Apa pun kita tunggu minggu depan kerana kami akan buktikan kata-kata kami ini di hadapan penyokong sendiri,” ujarnya. – Agensi.











