Atlet remaja AS hampiri rekod 100m Usain Bolt - Utusan Malaysia

Atlet remaja AS hampiri rekod 100m Usain Bolt

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS – Pelari remaja Amerika Syarikat (AS), Matthew Boling melakar kejutan besar dalam arena olahraga di negaranya apabila mencatat masa terpantas bagi atlet bawah 20 tahun dengan merekodkan 9.98 saat (s) dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Texas kelmarin.

Bagaimanapun, catatan 9.98s tersebut tidak diiktiraf sebagai rekod rasmi kerana atlet berusia 18 tahun itu menerima bantuan angin, sekali gus gagal memecahkan rekod Trentavis Friday yang merekodkan 10.00s pada tahun 2014.

Apa yang pasti, larian cemerlang pelari yang digelar White Lightning itu tetap memukau rakyat AS yang menganggap Boling sebagai permata baharu yang berpotensi menjadi atlet berkelas dunia dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini kerana catatan 9.98s yang dicatat oleh Boling hanya dibezakan 0.4s de­ngan rekod dunia 100m milik pelari le­genda Jamaica, Usain Bolt yang mencatatkan 9.58s pada Kejohanan Olahraga Dunia pada tahun 2009.

Boling ketika ditemui pemberita mengakui tidak menyangka dapat mencatat kepantasan tersebut, namun dalam masa yang sama berjanji untuk bekerja lebih keras supaya impiannya mewakili AS di peringkat antarabangsa tercapai.

“Sudah tentu saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya memulakan larian agak baik dan selepas 5 meter pertama saya tahu saya mampu mencatat masa yang pantas.

“Jadi, saya buat keputusan untuk menambahkan lagi kelajuan saya dan pamerkan larian terbaik. Saya gembira sekali dengan catatan ini,” jelas Boling.

Boling akan melanjutkan pelajarannya di Universiti Georgia pada Ogos depan dan meletakkan sasaran untuk mewakili AS pada temasya Sukan Olim­pik 2020 di Tokyo, Jepun. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini