KUALA LUMPUR 1 Mei – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan beliau bersedia menerima sebarang keputusan daripada pihak berkuasa.
Bung Moktar turut berharap tuduhan yang dikenakan terhadapnya akan dijawab dan diadili di mahkamah nanti.
“Biar mahkamah yang tentukan.
“Insya-Allah perjalanan hidup kita ini semuanya di tentukan Allah dan tidak ada yang terkecuali, kebenaran pasti menjadi benar,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter miliknya hari ini.
Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Jumaat ini atas pelbagai tuduhan rasuah dan bersubahat.
Kedua-dua individu berusia 59 dan 41 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sabah pagi tadi sebelum dibebaskan selepas kenyataan mereka diambil. – UTUSAN ONLINE











