Tok Gajah akhirnya rebah - Utusan Malaysia

Tok Gajah akhirnya rebah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 1 Mei – Rekod bersih Pahang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini akhirnya lebur selepas Terengganu FC (TFC) meneruskan momentum kebangkitan dengan mengejutkan juara bertahan itu 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, hari ini.

Ayam tambatannya Penyu, Kipre Tchetche terus menunjukkan sentuhan jaringan apabila meledak gol kelima dalam empat perlawanan (semua pertandingan) bagi memastikan TFC membawa bekalan sebelum bertandang ke Kuantan pada aksi timbal balik, 10 Mei ini.

Beraksi di depan 10,000 penonton, Terengganu mengejutkan Pahang seawal minit kesembilan menerusi jaringan Abdul Malik Mat Ariff yang menerima lorongan Lee Tuck.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tchetche tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-27 apabila memanfaatkan kesilapan pemain tengah Pahang, Herold Goulon yang melakukan hantaran tidak menjadi kepada penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Memasuki babak kedua, Tok Gajah cuba mengatur serangan bertali arus dan menguasai sebahagian besar permainan, sebelum bintang penyerang Brazil, Ze Love akhirnya merapatkan jurang pada minit ke-58.

Ini adalah kekalahan pertama Pahang dalam semua pertandingan Liga M musim ini, namun anak-anak buah Dollah Salleh itu masih belum tumbang dalam sebarang perlawanan Liga Super.

“Kami melakukan dua kesilapan yang tidak sepatutnya dan ia akhirnya mengundang padah. Namun dalam bola sepak, perkara ini boleh berlaku dan kita kena terima.

“Walaupun kalah agregat 1-2 tetapi corak permainan kami sudah kembali ke tahap terbaik. Kami menguasai babak kedua dan mencipta banyak peluang, malangnya tidak dapat menambah gol.

“Saya percaya, kami akan lebih bersedia dalam perlawanan kedua nanti dan percayalah macam-macam akan berlaku di Kuantan,” kata Dollah.

Ini adalah kemenangan keempat berturut-turut buat Terengganu dalam semua pertandingan musim ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini