Yamcik jadi buruan pihak polis - Utusan Malaysia

Yamcik jadi buruan pihak polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Yamcik’ kini menjadi buruan pihak polis selepas dipercayai mendalangi beberapa kejadian ragut serta penjualan barangan hasil ragut di sekitar ibu negara.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Rudy Abdullah berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita berhubung kejadian ragut yang berlaku di perkarangan Stesen Keretapi Tanah Melayu, Jalan Sultan Hishamuddin di sini pada 22 Februari lalu.

“Mangsa, seorang wanita tempatan berusia 50-an mendakwa telefon bimbitnya telah diragut oleh seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal sewaktu sedang menunggu pemandu Grab kira-kira pukul 12.20 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan laporan berkenaan, sepasukan polis dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Cawangan D8, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah melakukan serbuan di dua lokasi berbeza pada 29 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rudy, serbuan pertama telah dilakukan di sebuah rumah di Taman Mawar, Puchong, Selangor kira-kira pukul 2 petang dan telah memeriksa seorang remaja perempuan berusia 16 tahun sebelum merampas dua unit telefon bimbit jenama Vivo.

“Serbuan kedua pula dilakukan kira-kira pukul 5 petang di sebuah tapak pembinaan berhampiran salah sebuah institusi pendidikan di kawasan Petaling  dan telah memeriksa seorang lelaki berusia 30-an lalu menemui satu unit telefon bimbit jenama Meizu.

“Remaja perempuan berkenaan mengaku telah membeli telefon bimbit yang dirampas itu daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai ‘Yamcik’ dengan harga RM400 beberapa bulan yang lalu manakala suspek lelaki tersebut pula mengaku menjadi penjual telefon bimbit yang diberikan oleh lelaki sama,” katanya.

Jelas Rudy, suspek lelaki itu turut mendakwa pernah mengambil serta menjual sekurang-kurangnya 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan berkongsi hasil jualan bersama ‘Yamcik’ namun tidak mengetahui daripada mana lelaki itu mendapatkan kesemua telefon bimbit tersebut.

“Kedua-dua individu berkenaan kemudiannya direman selama empat hari bermula 30 April lalu dan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis sedang giat memburu rakan sejenayah yang masih bebas yang dikenali dengan nama panggilan ‘Yamcik’ dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini