KUALA LUMPUR 1 Mei – Malaysia memulakan penyertaan dalam Kejohanan Skuasy Indvidu Asia ke-20 dengan cemerlang apabila sembilan pemain diketuai pilihan keempat, Low Wee Wern berjaya ke pusingan ketiga di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
We Wern yang juga bekas pemain No. 5 dunia mengalahkan rakan senegara Chan Yiwen 11-5, 11-8, 11-1 dalam masa 26 minit untuk menempah perlawanan bertemu Sunayna Kuruvilla dari India, esok.
Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018, S.Sivasangari pula tanpa belas ehsan membelasah Pranghatai Phongrattana (Thailand) 11-1, 11-1, 11-1 akan bertemu Juara Remaja Terbuka Britain 2018 Aifa Azman yang layak selepas mengalahkan Fereshteh Egtedari (Iran) 11-2, 11-7, 11-7.
Rachael Arnold dan Lai Wen Li juga layak ke pusingan ketiga, selepas masing-masing mengalahkan Naduni Gunawardane (Sri Langka) 11-2, 11-4, 11-3 dan pemain jepun Risa Sugimoto 8-11, 11-5, 11-7, 11-7.
Saingan lelaki pula menyaksikan Mohd. Nafiizwan Adnan yang diletak sebagai pemain pilihan keenam kejohanan akan bertemu pemain Filipina, Robert Andrew Garcia pada pusingan ketiga selepas mengalahkan Arhant Simba (Nepal) 11-2, 11-4, 11-3.
Pemain ranking ke-36 dunia dan pilihan ketujuh, Ng Eain Yow yang mengalahkan Chen Wun Lin 11-0, 11-3, 11-2 dalam masa 20 minit pula, akan bertemu Ammar Al Tamini dari Kuwait.
Mohd. Syafiq Kamal akan berhadapan pilihan kedua, Yip Tsz Fung dari Hong Kong selepas mengalahkan pemain Korea Selatan, Lee Se Hyun 11-9,11-7, 11-4 manakala Yuen Chee Wern akan menentang Endo Tomotaka (Jepun) selepas menumpaskan Ko Young Jo (Korea Selatan) 11-2, 2-11, 11-3, 11-8.
Sementara itu, Adden Idrakie dan Ong Sai Hung gagal mara ke pusingan ketiga selepas tewas kepada lawan masing-masing.
Beberapa pemain terbaik Asia, termasuk pemain No. 10 dunia, Sauraj Ghosal (India) dan pemain No. 11 dunia, Annie Au (Hong Kong), turut menyertai kejohanan lima hari yang bermula hari ini. – BERNAMA











