TOKYO 1 Mei – Maharaja Naruhito berikrar untuk memenuhi peranannya sebagai ‘simbol kepada negara dan perpaduan’ ketika berucap buat pertama kali selepas ditabalkan sebagai Maharaja Jepun baharu ke-126, hari ini.
Naruhito yang berusia 59 tahun itu berucap selepas ditabalkan dalam satu upacara penuh simbolik namun ringkas di Istana Imperial.
Baginda menggantikan bapanya, Maharaja Akihito, 85, yang turun takhta pemerintahan sebagai Maharaja Jepun selama tiga dekad semalam.
Akihito membuat keputusan untuk turun takhta susulan kesihatannya yang semakin merosot akibat faktor usia, selain menyaksikan beliau kini bergelar Maharaja Emeritus Akihito.
Maharaja Emeritus itu merupakan pemerintah pertama memegang tampuk Takhta Kekwa di bawah Perlembagaan pasca perang, mengutamakan maharaja sebagai simbol rakyat tanpa kuasa politik.
Dalam ucapannya, Naruhito memberi penghormatan kepada bapanya dan berjanji untuk melakukan perkara yang sama untuk rakyat Jepun.
“Saya bersumpah bahawa saya akan menjadikan Maharaja Emeritus Akihito sebagai contoh dan memenuhi tanggungjawab yang digalas sebagai simbol untuk negara serta perpaduan rakyat Jepun,” katanya.
Naruhito dan isterinya, Maharani Masako Owada dijangka menampilkan imej yang lebih moden berbanding era pemerintahan bapanya.
Maharaja lepasan Universiti Oxford itu pernah membuat kenyataan pada 2017 bahawa beliau percaya peranan keluarga diraja berubah pada setiap zaman.
Namun, di sebalik idea dan pandangan baharu itu, Naruhito tetap dijangka meneruskan legasi yang dibangunkan oleh bapanya sebelum ini.
Naruhito dan Masako berkahwin pada 1993 dan dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Puteri Aiko. – AFP/AGENSI











