KUALA LUMPUR – Seramai 57 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui Op Nyah di Pantai Tanjung Sepat Taman Pelangi, Tanjung Sepat, Selangor selepas didapati cuba memasuki negara ini secara haram awal pagi tadi.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih, Pos Belangkan dan Pos Tanjung Sepat kira-kira pukul 6 pagi selepas hasil risikan dilakukan mendapati terdapat aktiviti penyeludupan PATI yang dilakukan.
“Sewaktu melakukan pemerhatian di persisiran pantai Tanjung Sepat kira-kira 1 kilometer dari Pos Tanjung Sepat, anggota bertugas telah terlihat sebuah bot pancung lalu bertindak menyamar sebagai tekong darat.
“Bot pancung berkenaan kemudiannya menghampiri pantai dan menurunkan 25 individu dipercayai pati sebelum beredar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Abdul Ghani, anggota bertugas yang menyamar sebagai tekong laut itu kemudiannya menghampiri sebuah lagi bot pancung yang tiba tidak lama kemudian untuk menurunkan beberapa lagi orang PATI.
“Salah seorang daripada tiga lelaki warga Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai tekong laut kemudiannya menghampiri anggota bertugas tersebut dan menyatakan bahawa mereka telah selesai menghantar kesemua PATI.
“Anggota bertugas kemudiannya bertindak menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan termasuk kesemua pati dan merampas satu unit telefon bimbit serta bot pancung yang dinaiki mereka,” katanya.
Jelas Abdul Ghani, seramai 57 orang pati telah ditahan yang masing-masing terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, tujuh wanita warga Myanmar, tiga lelaki Myanmar dan 44 lelaki warga Bangladesh dan dibawa masuk ke Malaysia oleh kumpulan tersebut selepas membayar sebanyak RM14,000.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati, 44 daripada mereka mempunyai pasport namun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala 13 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan kesemua mereka didapati masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007/2010 dan kami percaya telah berjaya melumpuhkan kegiatan kumpulan ini selepas merampas bot pancung milik mereka,” tegas beliau. – K! ONLINE











