SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin menarik perhatian Perbadanan Putrajaya supaya dapat mengambil tindakan segera untuk menutup lopak besar yang terdapat di kawasan letak kereta awam berdekatan Kompleks Kementerian Pengangkutan, Jalan Presint 2, Putrajaya bagi keselesaan orang awam yang berurusan di Kompleks Galeria dan kawasan berkaitan.
Kawasan itu merupakan tempat letak kereta awam yang tidak berturap bitumen. Apabila hujan, tanah menjadi lembut dan kenderaan yang melalui kawasan meletak kereta tersebut terbenam.
Lopak yang semakin membesar itu menghalang laluan masuk ke kawasan tersebut. Para pengguna berasa tidak selesa untuk meletak kenderaan di situ terutama selepas hujan.
Ini menyebabkan kenderaan kotor dan dikhuatiri membahayakan pengguna jika kenderaan mereka tersangkut dalam tanah yang terbenam.
Mohon pihak Perbadanan Putrajaya untuk menurap batu-batu kecil bagi menutup lopak berkenaan bagi mengelak ia menjadi lebih besar sekali gus meningkatkan keselesaan orang ramai yang berurusan di kawasan tersebut.
Kekurangan tempat letak kenderaan di Putrajaya akan bertambah buruk sekiranya tempat sedia ada tidak diselenggara dengan baik.
Seluruh warga pengguna ruang tempat letak kenderaan tersebut akan berasa bangga sekiranya tindakan serta-merta dapat diambil bagi sama-sama meningkatkan keselesaan para pengguna ruang letak kereta di kawasan tersebut.
TOH TAN DEWASAKTI
Putrajaya











