Broker ‘padi hantu’ diburu - Utusan Malaysia

Broker ‘padi hantu’ diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
BERIKUTAN laporan muka depan Mingguan Malaysia terbitan 28 April 2019 bertajuk ‘Selamatkan Padi Negara’ dan laporan-laporan susulan selepas itu yang disiarkan di Utusan Malaysia, Unit Komunikasi Korporat Jabatan Pertanian Malaysia memberikan maklum balas berikut berkaitan isu-isu yang dibangkitkan.

Antaranya isu-isu penjualan benih padi tidak sah, kegiatan broker yang menjadi dalang mengaut keuntungan dengan menjual benih padi tak sah serta punca penyakit Bacterial Panicle Blight (BPB).

PENJUALAN BENIH PADI SAH

Memuatkan artikel berkaitan…

Benih padi sah adalah progeni daripada penanaman biji benih padi asas daftar yang dikawal pengeluarannya mengikut prosedur di bawah Skim Pengesahan Benih Padi (SPBP) Jabatan Pertanian Malaysia bagi memastikan ketulenan genetik dan diperakui menepati piawaian dalam Standard Jabatan Pertanian Malaysia (SJPM).

SPBP merupakan satu sistem perakuan kualiti bagi mengeluar dan membekal benih padi sah untuk tujuan penanaman mengikut syarat dan piawaian yang ditetapkan. Di bawah skim ini, hanya pengeluar yang dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani layak memohon untuk mendapatkan perkhidmatan skim ini. Varieti-varieti yang dikeluarkan adalah daripada varieti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sasaran pengeluaran benih padi sah setahun yang telah ditetapkan oleh kerajaan adalah sebanyak 72,000 metrik tan setahun bagi memenuhi keperluan penanaman kawasan padi seluas 284,000 hektar. Kuota pengeluaran benih padi sah bagi tahun 2017-2019 telah diagihkan kepada sembilan syarikat pengeluar benih padi sah iaitu Padi Pukal Parit 7 (Sekincan) Sdn. Bhd., Haji Md. Nor Bin Haji Abd. Rahman (M) Sdn. Bhd., Felcra Plantation Services Sdn. Bhd., PPK Lahar Bubu, Pertama Padi Sdn. Bhd., KB Seri Merbok Sdn. Bhd., Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd., PPK Puteri Saadong, dan KB Jelapang Selatan (M) Sdn. Bhd., Pencapaian pengeluaran benih padi sah pada tahun 2018 adalah sebanyak 75,260 metrik tan iaitu 104% daripada sasaran pengeluaran.

BROKER DALANG KAUT KEUNTUNGAN

Pesawah di seluruh negara disaran mendapatkan bukti pembelian daripada mana-mana pembekal benih padi bagi tujuan mengesan, sekali gus membanteras ejen dan orang tengah yang menawarkan benih tidak sah. Pesawah disaran belajar dari kesilapan yang lalu dengan memastikan benih padi hanya dibeli dengan pembekal yang sah sahaja. Ini kerana jika berlaku sebarang masalah seperti padi tidak menjadi, serangan penyakit dan sebagainya, pihak Jabatan akan memastikan pembekal menggantikan benih berkenaan.

Sebagai agensi pengesah bagi Skim Pengesahan Benih Padi, Jabatan Pertanian sentiasa memastikan bahawa pengeluaran benih adalah berkualiti. Pembekal/individu yang terlibat dalam membekalkan beg putih ini kebiasaannya tidak memikirkan risiko dan kemungkinan yang bakal berlaku kepada industri benih negara dan penularan penyakit padi.

Kerja-kerja pengesahan yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian hanya melibatkan sembilan syarikat pengeluar yang telah dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam membekalkan benih padi sah kepada petani. Pengeluar-pengeluar ini dipantau dari semasa ke semasa dan mereka wajib memenuhi piawai Malaysia Standard MS 469:2012 Rice (Oryza sativa L.) Inbred Seed Planting Materials-Specification dan Standard Jabatan Pertanian Malaysia (SJPM-2009).

Jabatan Pertanian akan membuat pengesahan bermula daripada Permohonan Pengesahan Ladang Benih sehinggalah ke Perakuan Pengesahan Kualiti Benih Padi. Harga jualan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi benih padi sah di pintu kilang adalah RM28 sebeg. Sehubungan dengan itu petani adalah digalakkan untuk membeli terus benih padi di pintu kilang untuk menjamin kualiti benih tersebut daripada membeli terus daripada agen/broker/orang tengah yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

ADUAN GUNI ‘PUTIH’ PUNCA BPB

Punca utama serangan penyakit BPB di Malaysia adalah melalui penggunaan benih padi yang telah dijangkiti BPB. Jangkitan penyakit bermula pada peringkat berbunga. Pokok padi lebih peka pada jangkitan BPB pada 4 hingga 5 hari selepas terbit tangkai (60-70 hari lepas tabur).

Bagi Musim 1/2019 di Sawah Sempadan, selain serangan penyakit BPB, adalah didapati kehadiran perosak lain seperti ulat pengorek batang, bena perang dan padi angin juga turut mempengaruhi pengeluaran hasil padi. Melalui pemerhatian yang dijalankan oleh pasukan survey, serangan ulat pengorek batang pada musim 1/2019 adalah yang paling tinggi dan berkemungkinan akan menjejaskan pengeluaran hasil padi di Sawah Sempadan.

PANDUAN PENGGUNAAN BENIH PADI SAH

Membeli Benih

• Semak label benih

• Beli benih daripada pengeluar yang sah

• Dapatkan resit pembelian

• Pastikan tarikh label benih tidak melebihi 3 bulan dari tarikh bungkus

Merendam Benih

• Simpan label benih

• Gunakan air yang bersih

• Pastikan benih bercambah dengan baik sebelum menabur

• Jika tidak, laporkan kepada Jabatan Pertanian dengan segera

• Simpan benih sebagai bukti

Menabur Benih

• Pastikan siput gondang emas dikawal terlebih dahulu

• Pastikan keadaan sawah rata dan keadaan air ‘cap-cap’

• Jika tabur dalam air, pastikan air tidak kotor dan berkeladak

• Pastikan benih ditabur dengan sekata

 

Kesimpulannya pendedahan yang dibuat oleh pihak Utusan Malaysia adalah satu langkah yang baik bagi membantu pihak Jabatan Pertanian mengenal pasti broker atau orang tengah yang bertanggungjawab mengaut keuntungan dalam permasalahan ini.

Secara tidak langsung, membantu pesawah padi mengatasi dari terus diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Pesawah juga disarankan bekerjasama dengan pihak Jabatan dengan mendapatkan bukti pembelian benih padi bagi memudahkan tindakan undang-undang diambil. Bantuan dan kerjasama pesawah amat penting bagi memastikan perkara ini dapat diatasi dengan baik.

Ini sekali gus dapat menjamin kestabilan industri padi negara bahkan melindungi pesawah daripada terus menanggung kerugian akibat ketamakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini