KUALA LUMPUR 1 Mei – Sebanyak 500 peniaga memulakan jualan pra Ramadan sejak 19 April lalu bagi menyemarakkan kemeriahan sambutan bulan suci menerusi Festival Ramadan Selangor 2019 (Festira).
Festira 2019 merupakan program jualan yang diadakan serentak di ketiga-tiga aset milik PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi.
PREC berkata, festival itu menawarkan jualan pelbagai kelengkapan hari raya pada harga serendah RM35, aneka jualan kuih raya dan juadah tradisional seperti lemang, ketupat, rendang dan dodol.
Berita berkaitan:
“Festira 2019 menampilkan konsep yang berbeza di setiap lokasi iaitu Memori Desa Lebaran di Kompleks PKNS Shah Alam, Royal Eid di SACC Mall dan Taj Mahal di Kompleks PKNS Bangi.
“Menariknya tahun ini, Festira menampilkan barisan artis seperti Ziana Zain, Mamat Exist dan juga kumpulan nasyid Raihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, program turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik setiap hari Sabtu dan Ahad bermula 11 Mei sehingga 2 Jun ini.
“Pengisian acara termasuk pertandingan pencarian bilal muda, pertandingan mewarna, persembahan angklung, pertandingan mencanting batik, persembahan buskers, aktiviti memasang pelita dan persembahan seruling.
“Selain itu, pemberian bubur lambuk percuma turut diadakan dengan kerjasama daripada Persatuan Koperasi PKNS pada setiap hari Isnin dan Khamis yang akan diedarkan oleh pemain bola sepak PKNS FC,” katanya.
Festira tahun ini dijangka dikunjungi kira-kira 3.5 juta pengunjung. – UTUSAN ONLINE











