LONDON 1 Mei – Rio Ferdinand mendapatkan nasihat daripada Edwin van der Sar selepas berita mengenai bekas pertahanan itu akan dilantik sebagai pengarah sukan Manchester United yang baharu.
Laporan mengenai perkara itu mula tersebar semalam selepas Ferdinand bertemu dengan Naib Pengerusi Ekesekutif United, Ed Woodward mengenai jawatan baharu yang akan diwujudkan di Old Trafford.
Woodward dilaporkan berminat dengan cadangan yang dikemukakan bekas pemain berusia 40 tahun yang pernah menjulang 10 trofi kejuaraan sepanjang bersama Red Devils.
Ferdinand dilihat bertemu dengan bekas rakan sepasukannya Van der Sar menjelang aksi Tottenham menentang Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara.
Dia memberitahu BT Sport bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Ajax, Van der Sar bercakap mengenai peranannya bersama gergasi Eredevisie itu.
“Dia adalah rakan yang baik. Dia melakukan kerja yang cukup baik bersama kelab itu. Dia memberitahu apa yang dilakukannya di sana.
“Tuntutan pekerjaan sangat besar tetapi sangat memuaskan apabila kelab awak beraksi di pentas besar seperti ini,” katanya.
United dijangka mahu mendapatkan pengarah sukan untuk memberikan lebih dinamik kepada proses pemilihan dan pengurusan bagi pasukan pertama dan akademi.-AGENSI











