30 PATI gagal sambut Ramadan ditanah air sendiri - Utusan Malaysia

30 PATI gagal sambut Ramadan ditanah air sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Hasrat 30 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk pulang menyambut Ramadan di negara republik itu terbantut selepas dua buah bot dinaiki mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) semalam. 

Bot jenis pom-pom berkenaan ditahan di Laut Selat Rawa, Pulau Ketam di sini sekitar pukul 6 petang.

Selain 30 orang PATI berusia 21 hingga 61 tahun, dua tekong bersama lima awak-awak turut ditahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superitendan Mohd. Khairuddin Jamal berkata, tiga buah bot PPM telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung penyusupan keluar oleh PATI itu. 

“Pemeriksaan mendapati seramai 14 lelaki dan tujuh perempuan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah manakala seramai sembilan individu memiliki pasport namun telah tinggal lebih masa di Malaysia

“Kita turut merampas tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai RM1,540. Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai ​​RM47,176,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Khairuddin menambah, siasatan awal mendapati kedua-dua tekong bot berkenaan memulakan kegiatan membawa keluar PATI sejak Mac lalu.

Ujarnya, PATI tersebut dipercayai menggunakan perkhidmatan tekong berkenaan bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Indonesia. 

“Kesemua yang ditahan termasuk bot pom-pom itu kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

” Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)C dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Khairuddin menjelaskan, sebanyak 34 kes dengan tangkapan seramai 167 orang dibawah Akta Imigresen 1959/63 telah berjaya dibuat oleh PPM Pelabuhan Klang sepanjang Januari hingga bulan ini .

“Berbanding tahun lalu dalam tempoh yang sama, sebanyak 24 kes membabitkan tangkapan seramai 94 orang,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini