LONDON 1 Mei – Penjaga gol The Strongest, Daniel Vaca terpaksa dikejarkan ke hospital selepas rebah di atas padang gara-gara dibaling mercun oleh penyokong bekas kelab lamanya.
Serangan tersebut berlaku ketika Vaca berdiri di depan pintu gawangnya ksewaktu beraksi bersama kelabnya menentang Jorge Wilstermann.
Rakaman video menunjukkan letupan mercun berlaku di sekeliling Vaca sebelum penjaga berusia 40 tahun itu jatuh sambil melindungi kepalanya menyebabkan perlawanan tersebut ditangguh.
Ketika kejadian berlaku, kelab Bolivia, The Strongest sedang mendahului 2-1 dalam aksi liga domestik di Estadio Hernando Siles dekat La Paz.
Bagaimanapun, difahamkan pengadil perlawanan mengambil kira keputusan yang berpihak kepada The Strongest memandangkan insiden tersebut pada masa tambahan permainan.
Vaca beraksi bersama The Strongest sejak 2011 dengan membuat 161 penampilan selepas beraksi bersama Wilstermann.
Kemenangan tersebut membolehkan The Strongest menduduki tempat keempat dalam Liga Premier Bolivia, mengatasi Jorge Wilstermann tiga anak tangga. – AGENSI











