SHAH ALAM – Memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah kemudian bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan.
Itu antara kesalahan yang dikesan Jabatan Imigresen Selangor selepas berjaya menahan 25 orang wanita warga asing di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya semalam.
Serbuan yang bermula kira-kira pukul 11 malam itu turut menahan 10 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 15 hingga 40 tahun.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai kegiatan tidak bermoral di pusat hiburan berkenaan.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan kebanyakan GRO termasuk seorang remaja sedang leka melayan pelanggan.
“Semasa serbuan dilakukan terdapat seramai 50 warga asing dan 40 warga tempatan yang berada di dalam premis berkenaan .
“Pemeriksaan lanjut mendapati 35 orang warga asing telah ditahan membabitkan warga Vietnam, Indonesia, Thailand, Myanmar, China dan Bangladesh atas pelbagai kesalahan imigresen,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri menegaskan terdapat segelintir warga asing berkenaan cuba melarikan diri dan bersembunyi namun gagal berikutan tindakan pantas anggotanya yang telah mengepung premis itu.
Jelas beliau, kesemua yang ditahan akan dihantar ke Depot Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tamat tempoh pas atau
permit serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Kita juga akan mengesan majikan dan pemilik pusat hiburan itu bagi membantu siasatan. Tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dilakukan sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang bagi kes berkenaan,” katanya. – K! ONLINE











