KUALA LUMPUR 1 Mei – ‘Kehilangan’ rakan serumah sejak seminggu lalu hanya disedari empat penghuni sebuah rumah sewa dua tingkat di Kota Damansara, dekat sini selepas terhidu bau busuk dari biliknya, semalam.
Lelaki malang berusia 49 tahun itu ditemukan rakan serumahnya dalam keadaan berulat dan membusuk di atas katil bilik tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 6.29 petang.
“Sebanyak enam anggota dikejarkan ke lokasi yang bertindak membungkus mayat itu dengan plastik hitam dan membawanya turun menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Menurut rakan serumah mangsa, kali terakhir lelaki itu dilihat kira-kira seminggu lalu dan mereka tidak mengesyaki sesuatu yang buruk sebelum mereka terhidu bau busuk yang datang dari bilik sewa mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kejadian tidak melibatkan sebarang perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











