LONDON 1 Mei – Manchester United meletakkan harga 120 juta pound (RM648.21 juta) ke atas Paul Pogba menjelang jendela perpindahan yang akan dibuka pada musim panas ini.
Bintang Perancis itu dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan beberapa minggu lalu terdapat dakwaan yang menyatakan dia mahu meninggalkan Old Trafford.
Ejen Pogba, Mino Raiola sedang mencari destinasi terbaik untuk pemain itu dan menjelaskan bahawa dia yakin pemain tengah itu akan berhijrah dalam beberapa bulan lagi.
United pada awalnya menolak idea untuk menjual pemenang Piala Dunia yang membuatkan mereka terpaksa mengeluarkan belanja 89 juta pound (RM480.76 juta) untuk mendapatkannya semula pada 2016.
Selepas menampilkan aksi buruk dalam beberapa perlawanan termasuk ketika tewas 0-4 kepada Everton, Roy Keane mengkritik pemain itu secara terbuka.
“Saya tidak percaya dengan apa yang dia katakan. Dia tidak akan berubah. Dia adalah masalah besar kepada pasukan dan itu adalah realiti,” kata legenda United itu.-AGENSI











