Jangan lupa 300,000 belia menganggur - Utusan Malaysia

Jangan lupa 300,000 belia menganggur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Mei – Dalam kesyukuran menyambut Hari Pekerja hari ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan mengingatkan orang ramai supaya tidak lupa kepada kira-kira 300,000 belia yang masih menganggur dan tidak dapat menyambut hari yang penuh makna ini sebagai pekerja.

Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage berkata, pihaknya akan terus konsisten mendesak peluang pekerjaan yang lebih banyak bagi golongan belia.

“Sementara kita menyambut Hari Pekerja yang penuh signifikan ini, pihak AMK Wilayah Persekutuan terpanggil untuk mengingatkan orang ramai akan nasib lebih 300,000 golongan belia yang masih menganggur ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di saat kita bersuka ria, jangan sesekali lupakan mereka yang memerlukan pembelaan kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam manifestonya, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan berkualiti di bawah Janji 35: Menaikkan Martabat Golongan Pekerja dan Mewujudkan Lebih Banyak Pekerjaan Berkualiti.

AMK adalah sayap pemuda PKR yang merupakan parti komponen PH dengan bilangan kerusi Parlimen terbanyak.

Mengulas lanjut, Na’im berkata, pihaknya percaya PH akan mengambil sikap proaktif dalam menangani masalah pengangguran belia yang didakwa diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Beliau memohon supaya kerajaan mengambil sebanyak mungkin pandangan daripada pelbagai lapis individu dan organisasi belia untuk merangka pelan holistik bagi menangani masalah itu.

“Isu pengangguran belia boleh menyumbang kepada ketidakstabilan sistem sosial dan menjejaskan ekonomi negara jika tidak segera ditangani,” katanya.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini