Wanita Malaysia bangkit selepas dibelasah - Utusan Malaysia

Wanita Malaysia bangkit selepas dibelasah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 April 2019 – Pujian wajar diberikan buat skuad FIT Touch wanita negara apabila berjaya meraih kemenangan sulung dengan menjinakkan Filipina 4-3 pada Piala Dunia FIT Touch 2019 di Taman Ekuestrian Putrajaya, di sini hari ini.

Dalam aksi pusingan round robin kategori Wanita Terbuka itu, skuad kendalian Amir Affifuddin berjuang bermati-matian bagi memburu tiga mata berharga selepas terlebih dahulu dibelasah pasukan pilihan, New Zealand dengan keputusan 0-14 pada aksi sebelah pagi.

Apa yang pasti, kemenangan itu jelas menyuntik semangat skuad negara menjelang pertemuan berdepan Amerika Syarikat dan Wales dalam aksi seterusnya esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, barisan pemain dilihat segera melupakan kekecewaan ditumpaskan New Zealand apabila akhirnya berjaya mengatasi Filipina sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung buat Malaysia dalam kejohanan ini.

“Meskipun tewas ketika berdepan New Zealand, anak-anak buah saya sebenarnya bermain dengan baik dalam perlawanan itu.

“Jadi, saya benar-benar gembira apabila mereka berjaya mengekalkan momentum permainan ketika berdepan Filipina sebelum akhirnya menang tipis,” katanya.

Menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kejayaan berpasukan, Amir tanpa berselindung turut memberikan kredit kepada beberapa pemain negara seperti Jennab Zulkifly, Kylie Compton dan Georgina McKavanagh yang beraksi cemerlang dalam perlawanan itu.

“Barisan pemain dilihat semakin fokus selepas lima minit permainan, selain beraksi mengikut strategi yang diterapkan secara mudah tidak kira ketika bertahan mahupun menyerang,” jelasnya.

Amir memberitahu, kemenangan itu juga disifatkan sebagai satu amaran awal bahawa pasukannya juga berupaya memberikan saingan terhadap pasukan-pasukan lain bertaraf dunia dalam kejohanan berprestij seperti Piala Dunia FIT Touch 2019.

“Pasukan ini dilihat berpotensi untuk mara lebih jauh, tambahan pula ia dibarisi pemain-pemain muda yang berusia antara 16 dan 27 tahun.

“Persiapan membentuk pasukan juga agak singkat apabila kami hanya mula berlatih bersama sejak Oktober tahun lepas, jadi saya harap pasukan ini dapat dikekalkan selepas Piala Dunia,” katanya.

Justeru kata Amir, dia menuntut komitmen yang sama daripada barisan pemain untuk terus memburu tiga mata berharga dalam baki aksi saingan selepas ini.

“Di atas kertas, kami menghormati kekuatan pasukan lawan terutamanya New Zealand, Amerika Syarikat, Wales, Papua New Guinea dan Perancis.

“Jadi, kami berharap semoga berjaya melakar satu lagi kemenangan ketika menentang Belanda nanti (Jumaat ini),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini