[VIDEO] Polis digesa siasat penularan video wujudkan sentimen agama - Utusan Malaysia

[VIDEO] Polis digesa siasat penularan video wujudkan sentimen agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 April – Lebih 20 individu dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa siasatan dijalankan terhadap individu yang sengaja menyebar dan mewujudkan sentimen agama berhubung video pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang menceritakan pengalamannya sebelum memeluk Islam.

Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung berkata, pendakwah berkenaan hanya menceritakan pengalamannya sebelum memeluk Islam dan tiada unsur penghinaan langsung terhadap agama Hindu.

Menurutnya, apa yang Muhammad Zamri kongsikan dalam video tersebut tidak mewakili agama tapi tentang pengalaman dirinya sendiri sebelum memeluk Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Video itu juga telah hampir empat bulan tetapi mengapa baru sekarang dijadikan isu? Perkara itu sedikit sebanyak memberi gambaran buruk tentang beliau.

“Oleh itu, kami terpanggil untuk membuat laporan polis kerana perkara ini menjadi besar selepas tindakan sesetengah pihak yang sengaja mengapi-apikan isu agama dan perkauman setelah menonton video tersebut yang secara tidak langsung menggugat keharmonian agama dan kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili beberapa individu dan NGO termasuk Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) selepas membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju, di sini hari ini.

Firdaus Wong menjelaskan, pihaknya percaya perkara ini didalangi sesetengah individu yang sengaja menularkan video tersebut dan Muhammad Zamri dipersalahkan sebagai ‘pencetus perpecahan kaum dan agama’.

Semalam, media melaporkan seorang pendakwah yang juga pembantu kepada Zakir Naik ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) pada pukul 2.30 pagi di hadapan sebuah restoran di Arau, Perlis berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.

Muhammad Zamri yang kini direman empat hari itu didakwa membuat kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap agama Hindu dalam satu video berdurasi 1 minit 10 saat yang tular di laman sosial. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini