KUALA LUMPUR 30 April – Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) menyasarkan untuk mengambil alih aset hartanah bernilai RM200 juta dalam ruang perindustrian khususnya di bawah segmen gudang dan kemudahan pembuatan pada akhir 2019.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Axis REIT Managers Bhd., Leong Kit May berkata, syarikat itu kini giat menumpukan pada kemudahan logistik gred A dan kemudahan pembuatan dengan sewa jangka panjang daripada penyewa serta perjanjian kukuh.
“Kami mahu mencari gudang runcit yang terletak di lokasi sesuai bagi pengedaran peringkat akhir, serta pejabat, kawasan perniagaan dan kawasan hartanah yang berpotensi untuk dibangunkan lagi di masa depan,” katanya kepada Bernama.
Kit May berkata, ketika ini REIT telah menerima beberapa surat tawaran iaitu untuk mengambil alih dua kemudahan pembuatan pegangan bebas di Nusajaya, Johor bagi RM55.8 juta dan kemudahan pembuatan pajakan di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang akan diumumkan kemudian.
Beliau berkata, Axis REIT memberi perhatian serius bagi pengambilalihan hartanah berkenaan dan tiga pengambilalihan disasarkan dapat diselesaikan menjelang separuh kedua 2019.
Pada suku pertama yang berakhir 1 Mac 2019, Axis REIT mempunyai 45 hartanah dalam portfolionya dengan 34 hartanah mempunyai kadar penghunian 100 peratus.
Jumlah aset di bawah pengurusan syarikat itu bernilai RM2.9 bilion dan kadar hutang pada 38 peratus yang dianggap sihat berdasarkan kadar hutang maksimum dibenarkan adalah 50 peratus.
Semua portfolionya berada di Malaysia dengan Selangor mempunyai pendedahan tertinggi iaitu sebanyak 55.6 peratus, diikuti Johor (24.8 peratus), Pulau Pinang (lapan peratus), Pahang (5.4 peratus), Negeri Sembilan (4.7 peratus) dan Kedah (1.5 peratus).
Tahun lepas, Axis REIT menambah lima hartanah ke dalam portfolionya, yang merupakan hartanah industri terletak di Johor dan Selangor. – BERNAMA











