BARCELONA – Penyerang Barcelona, Lionel Messi melaungkan amaran buat pasukannya supaya cepat mencari rentak dalam permainan pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan Liverpool sekiranya enggan merasai kekecewaan menjulang trofi Eropah tersebut sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2015.
Dua gol daripada bintang Argentina tersebut telah berjaya melengkapkan kemenangan agregat 4-0 Barcelona ke atas Manchester United Rabu lalu, sekali gus menempah pertemuan dengan Liverpool yang turut mara dengan kejayaan ke atas Porto semalam.
The Reds yang kini dalam usaha menamatkan penantian 29 tahun merebut gelaran Liga Perdana England (EPL), dilihat bakal memberi tentangan hebat kepada wakil La Liga tersebut dan perkara tersebut membuatkan Messi lebih berwaspada menjelang pertembungan mereka.
“Kami tidak boleh bermula dengan perlahan sekiranya berdepan mana-mana pasukan di pentas UCL.
“Semua pemain sedia maklum bahawa kami telah mendapat pengajaran ketika ditunjukkan jalan keluar oleh AS Roma musim lalu.
“Kamu tidak boleh merumitkan lagi keadaan itu kerana berdasarkan satu ke- silapan sahaja, ia pasti boleh membuatkan kami tersingkir daripada pentas UCL. Jadi kami perlu lebih berwaspada dari sekarang.
“Sudah tiga tahun kami tidak melepasi aksi separuh akhir, namun ia tetap tidak membuatkan Barcelona kecewa kerana kami telah membuktikan kemampuan kami pada musim ini,” kata Messi. – Agensi.











