KUALA LUMPUR – Saksi kelima pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tujuh pertuduhan SRC International Sdn. Bhd. RM42 juta, memaklumkan kepada mahkamah terdapat 17 cek Ambank telah dikeluarkan dan dibayar kepada parti politik UMNO serta beberapa individu antara Disember 2014 hingga Mac 2015.
Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek Ambank cawangan Ambank Malaysia, Badrul Hisam Mohamad, 45, berkata, antara penerima transaksi itu ialah Ihsan Perdana Sdn. Bhd., Solar Shine Sdn. Bhd., Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan UMNO Bahagian Johor Bahru.
“Dalam transaksi itu syarikat Ihsan Perdana menerima cek sebanyak RM20 juta, Solar Shine Sdn. Bhd. dan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang masing-masing sebanyak RM1 juta selain RM300,000 untuk UMNO Bahagian Johor Bahru,” katanya.
Badrul Hisam berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari kelima perbicaraan Najib di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali pada hari kedua perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.
Ujarnya, pembayaran transaksi itu turut melibatkan Rumah Penyayang Tun Abdul Razak sebanyak RM400,000 dan beberapa individu seperti Datuk Asmadi Abu Talib yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai RM50,000.
Dalam pada itu, pembayaran juga turut dibuat melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) kepada firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak bagi mencukupkan bayaran sebanyak RM3.5 juta kerana terdapat kesilapan pada cek yang jumlah asalnya RM3,500.
Perbicaraan bersambung lagi petang ini.
Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.
Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.
Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.
Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











