LABUAN – Sejenis hidupan laut yang dianggap misteri dijumpai mati terdampar dalam keadaan telah reput di Pantai Membedai di sini semalam yang spesiesnya belum dapat dikenal pasti oleh pegawai perikanan dan veterinar.
Bangkai haiwan yang menyerupai ikan lumba-lumba sepanjang 1.8 meter (enam kaki) itu dijumpai di pantai peranginan popular itu pagi semalam oleh seorang “jogger” (orang yang berlari-lari anak) yang terkejut dengan penemuan itu.
Pengarah Jabatan Veterinar Labuan Dr Marysia James Abie berkata agak sukar untuk menentukan punca kematiannya kerana bangkainya sudah reput teruk dan kepalanya hancur sedikit.
“Haiwan yang dianggarkan dalam usia juvana itu dipercayai telah mati lebih 72 jam lepas.
“Saya agak terkejut. Haiwan ini jarang diitemui di perairan kita, jadi melihatnya mati terdampar di pantai adalah amat menyedihkan,” kata beliau. – Bernama











