PUTRAJAYA 17 April – Telekom Malaysia Bhd. (TM) kini berada di prestasi terbaik untuk menjadi peneraju kepada teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G sekali gus dapat membantu melonjakkan Malaysia menjadi negara digital.
Pengurus Besar Produk TM, Mohd. Nazeem Mohd. Nasir berkata, pihaknya mempunyai rekod dan prestasi yang telah terbukti dalam pembangunan teknologi negara selain mempunyai pelbagai kepakaran dan pengalaman dalam bidang itu.
Beliau berkata, bagi membuktikan perkara tersebut, TM mengambil peluang menyertai Pameran 5G anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bermula esok sehingga 21 April ini di Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini.
“Bersempena pameran itu, TM akan mempamerkan pelbagai produk baharu yang menggunakan teknologi 5G. Orang ramai dan pihak berkepentingan boleh melihat secara lebih dekat atau dengan terperinci setiap produk yang dipamerkan nanti.
“Antara produk berasaskan teknologi 5G yang akan dipamerkan ialah rumah pintar, sistem trafik, industri pintar 5G dan robotik. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk melihat teknologi ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nazeem, untuk produk rumah pintar, teknologi 5G membolehkan ahli keluarga mengamalkan gaya hidup digital di rumah termasuk menguruskan kehidupan dengan lebih mudah dan efisien dengan sentuhan butang sahaja.
“Bagi pengurusan trafik pintar TM pula, ia dapat menangani kesesakan lalu lintas untuk masa perjalanan yang lebih cepat sambil menampung tuntutan lalu lintas yang sentiasa berubah setiap hari. Sistem ini juga dapat meningkatkan tahap keselamatan.
“Sambungan 5G TM ketika ini juga adalah lebih baik iaitu sepantas 5.5 gigabit sesaat (Gbps) berbanding 500 Megabit sesaat (Mbps) sebelum ini. Ujian sambungan ini menggunakan teknologi mmWave yang menjanjikan sambungan internet pantas,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan Cyberjaya dan Putrajaya bakal menjadi bandar raya pintar pertama di Malaysia yang menerima kemudahan teknologi 5G apabila ujian rintis rangkaian perkhidmatan itu bermula pada bulan ini.
Dalam tempoh itu, katanya, syarikat-syarikat penyedia telekomunikasi serta pemain industri yang berkenaan akan mengendalikan ujian teknologi 5G masing-masing dengan dibantu SKMM.











