PEMAIN skuasy negara, Low Wee Wern tidak putus semangat meskipun terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir semalam ekoran kecederaan lutut biarpun beraksi cemerlang di pentas final Terbuka Macau pada Ahad lalu.
Wee Wern melakukan kejutan di Macau apabila menumbangkan tiga pemain Mesir dalam kemaraannya ke pentas final sebelum akur kepada pilihan utama dari Hong Kong, Annie Au 5-11, 11-13, 8-11.
Bekas pemain No. 5 dunia itu mengalami kecederaan selepas kekalahan tersebut dan mengakui masih belum pulih sepenuhnya, sekali gus memaksanya mengambil keputusan melupakan penyertaannya di Mesir semalam.
Menurut Wee Wern, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelak kecederaannya bertambah teruk dan menjejaskan persiapan menyertai Kejohanan Asia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 hingga 5 Mei depan.
“Selepas selesai beraksi di Macau, saya telah berbincang dengan pengurusan pasukan untuk tidak meneruskan perlawanan di Mesir. Selepas beraksi di final dengan Annie Au saya rasa kurang selesa pada bahagian lutut, mungkin kerana terlalu bekerja keras pada perlawanan sengit seperti itu.
“Lebih kurang setahun saya tidak berdepan situasi seperti ini dan mungkin sebab itu keadaan fizikal saya tidak mampu untuk menampung perlawanan kompetetif secara serentak.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian ini dan yakin mampu pulih menjelang saingan di Kuala Lumpur pada Mei nanti. Masih ada tempoh kira-kira dua minggu dan saya harap mampu bermain dengan lebih baik,” kata Wee Wern kepada Kosmo! semalam.
Wee Wern mengalami kecederaan lutut yang serius dua tahun lalu dan telah berehat selama 22 bulan sebelum pulih sepenuhnya.
Pemain berpengalaman negara itu menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila kembali semula ke gelanggang pada Julai tahun lalu dengan aksi yang cukup membanggakan.











