PADANG BESAR 18 April – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukan sebanyak RM627,000 bagi tujuan ‘Bantuan Dermasiswa Untuk Pelajar Negeri Perlis’ yang belajar di timur tengah seperti di Mesir, Jordan dan Maghribi bagi tahun ini.
Titah baginda, ia melibatkan seramai 93 orang penerima bagi membantu mereka dan melahirkan generasi pelapis agama yang terbaik.
Menurut baginda, pelajar di Jordan menerima sebanyak RM11,000 yang merangkumi sumbangan dermasiswa tahunan sebanyak RM6,000 dan tambahan sumbangan sekaligus (one-off) sebanyak RM5,000.
Manakala bagi para pelajar di Mesir pula, sebagaimana yang baginda umumkan baru-baru ini, sumbangan dermasiswa adalah RM6,000 dan tambahan sumbangan sekaligus (one-off) sebanyak RM1,000 dan ia menjadikan jumlah keseluruhan pada tahun ini RM7,000.
Sumbangan ini bergantung kepada pencapaian akademik pelajar yang lulus dan berjaya dalam peperiksaan setiap tahun pengajian. Bagi pelajar yang mengulang kali pertama sahaja akan diberikan sumbangan dermasiswa sebanyak RM3,000.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan “Majlis Agihan Dermasiswa MAIPs Untuk Pelajar Negeri Perlis Di Timur Tengah 2019” yang diadakan di Masjid As-Saadah, Kampung Baroh, Santan, Padang Besar petang semalam.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir menyampaikan tazkirah sebelum itu ialah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Baginda turut memaklumkan bahawa MAIPs turut memberikan peruntukan tahunan sebanyak RM15,000 masing-masing kepada Keluarga Pelajar-Pelajar Perlis (KPP) Mesir dan Ikatan Mahasiswa Perlis Jordan (IMAPs) untuk tujuan aktiviti dan program akademik pelajar sepanjang tahun tersebut.
MAIPs juga turut menghantar wakilnya dari masa ke semasa untuk memantau dan melawat anak-anak pelajar Perlis di Mesir dan Jordan serta melihat keadaan bangunan asrama Perlis di Kaherah yang dibeli oleh MAIPs untuk penempatan para pelajar. – UTUSAN ONLINE











