PDRM perkenal infoline CCID - Utusan Malaysia

PDRM perkenal infoline CCID

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memperkenalkan infoline CCID yang membolehkan orang awam menyalurkan maklumat, aduan atau pertanyaan yang melibatkan jenayah komersial.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor berkata, medium tersebut bertujuan menambah baik sistem penyampaian melalui perkhidmatan yang cepat dan tepat kepada masyarakat selain memudahkan orang ramai menyemak serta mendapatkan pengesahan berkenaan kes jenayah komersial.

Ujarnya, infoline ini juga bertujuan menyemak laporan polis yang dibuat serta mendapatkan perkembangan kes dan bagi memudahkan menyalurkan maklumat kes-kes jenayah komersial khususnya jenayah bersindiket seperti penyamaran Macau Scam, jenayah e-dagang, tipu pinjaman tidak wujud dan pemalsuan dokumen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Infoline ini beroperasi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp sahaja ke talian 013-2111222 bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam, setiap hari.

“Maklum balas setiap aduan, maklumat atau pertanyaan yang diterima akan diberikan dalam tepoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, aduan mestilah menggunakan nombor telefon berdaftar dengan syarikat telekomunikasi Malaysia dan kesahihan maklumat akan disemak terlebih dahulu oleh pengendali infoline sebelum proses maklum balas.

“Maklumat dan butiran yang diberikan pengadu harus tidak bersifat jahat, tohmahan tidak berasas serta menggunakan perkataan lucah dan jelek bagi menjatuhkan kreadibiliti individu atau organisasi.

“Sebarang gurauan juga tidak akan dilayan dan sekiranya didapati ada pihak dengan sengaja membuat keterangan palsu akan diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai juga dinasihati menyemak status penglibatan jenayah dengan melayari laman web semak mule di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum mengambil tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini