KUALA NERANG – Seekor keluang betina yang cedera ditemui terjatuh bersama anaknya di halaman sebuah rumah di Taman Akasia di sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd. Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada pengadu, Azlan Iskandar, 35, pada pukul 11.52 pagi ini.
“Pengadu memaklumkan tentang penemuan seekor keluang yang cedera pada bahagian sayap dan haiwan itu turut membawa anaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap diketuai Koperal (PA) Mohd. Rizal Ali bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap haiwan tersebut dalam masa kira-kira 10 minit.
“Keluang ini dipercayai datang dari kawasan hutan berhampiran dan dipercayai terjatuh akibat kecederaan dialaminya,” ujarnya sambil memberitahu haiwan tersebut jarang dijumpai kerana semakin pupus.
Tambahnya, haiwan itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE











