MELAKA – Golongan berpendapatan rendah (B40) di negeri ini bakal menikmati khidmat kesihatan percuma di klinik atau hospital kerajaan bermula tahun depan.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, inisiatif yang merupakan sebahagian daripada manifesto kerajaan negeri itu akan dilaksanakan menggunakan kad kesihatan.
Katanya, pihaknya kini sedang meneliti model perkhidmatan itu yang dijangka dapat dilaksanakan paling cepat pada tahun depan.
“Kita telah melihat modelnya dan ada beberapa kumpulan sasar yang kita akan berikan kad kesihatan percuma ini untuk mereka menerima perkhidmatan (kesihatan) percuma daripada kita.
“Sekarang ini kita sedang melihat jumlah peruntukan yang akan diberikan tetapi nilainya tak lebih RM500 setahun untuk setiap keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Santuni Cahaya Mata Bandaraya 2019 sempena Ulang Tahun Ke-16 Bandaraya Melaka Bersejarah di Hospital Melaka, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong; Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin; Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Norzitah Abu Khair dan Pengarah Hospital Melaka, Dr. Hatijar Mohd. Tan.
Jelas Adly, selain kad kesihatan percuma, kerajaan negeri juga sentiasa memantau peluang-peluang yang ada dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan agar selaras dengan status Melaka sebagai bandar moden.
“Cabaran kita hari ini adalah untuk memenuhi permintaan tinggi daripada masyarakat yang sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik dalam segenap aspek,” katanya. – K! ONLINE











