NILAI – Seorang operator kren maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 280.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Nilai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Mohammad Rizal Mazlan, 25, maut selepas motosikal jenis Naza Blade 250 ditunggangnya terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Jeram, Selangor menuju ke Johor Bahru semasa kemalangan itu berlaku.
“Motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di sebelah kanan.
“Mangsa tercampak dan maut di lokasi kejadian. Kami menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada orang awam,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk menjalani bedah siasat hari ini.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











