Malaysia gesa AS keluarkan negara dari ‘Indikator K’ - Utusan Malaysia

Malaysia gesa AS keluarkan negara dari ‘Indikator K’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 April – Malaysia membantah sekeras-kerasnya keputusan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meletakkan negara dalam Indikator K seperti yang diumumkan pada nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS pada 9 April lalu.

Indikator itu menunjukkan kebimbangan Kerajaan AS terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan-kawasan tertentu di Timur Sabah.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Wisma Putra memberitahu, keputusan itu disifatkan sebagai kurang objektif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nasihat perjalanan baharu ini dilihat kurang objektif. Ia tidak mencerminkan hakikat di lapangan terutama situasi keselamatan di Timur Sabah yang kekal selamat dan terkawal bagi pelancong.

“Ini disandarkan kepada fakta bahawa angka ketibaan pelancong di Sabah telah meningkat ke 5.5 peratus, mencecah 3.87 juta tahun lalu. Malah, angka insiden penculikan telah turun secara signifikan kepada hampir sifar,” katanya.

Jelas Wisma Putra, Timur Sabah terus menarik penyelam-penyelam bertaraf dunia dan kejayaan-kejayaan tersebut adalah hasil pendekatan proaktif yang diambil Kerajaan Malaysia.

Pendekatan-pendekatan itu tambahnya, termasuk peningkatan bilangan rondaan, kerjasama keselamatan erat dengan negara-negara jiran dan pengaturgerakan strategik aset-aset keselamatan.

“Dengan fakta-fakta ini, Malaysia menggesa AS untuk menjadi lebih objektif dalam penilaiannya. Kita menggesa AS supaya segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai K terbabit,” katanya.

“Duta AS ke Malaysia akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung nasihat perjalanan baharu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini