Rantau dan muafakat ummah - Utusan Malaysia

Rantau dan muafakat ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARANAN kesatuan ummah, bersatu umat seaqidah sesungguhnya adalah saranan Allah SWT. Di Malaysia, mengikut tafsiran Perlembagaan Persekutuan, Melayu itu adalah Islam.

Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Bermakna jika kita menyeru kepada kesatuan umat Melayu kita sebenarnya menyeru ke arah penyatuan Islam itu sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Allah SWT berfirman dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara……”

Menurut Almarhum Prof. Dr. Hamka dalam tafsir Al-Azharnya, ‘berpegang teguh’ dalam ayat ini bermaksud berpegang sungguh-sungguh sehingga sampai mati.

Bermakna kesatuan ummah yang mahu dijalin dan diperkasakan itu mesti dengan iltizam memegang agama Allah bermati-matian.

Allah takdirkan dua buah parti Melayu-Islam terbesar dalam negara iaitu UMNO dan Pas dapat bertaawun menjalin kerjasama yang sebelum ini sukar diusahakan atas pelbagai sebab.

Setelah berbalah sekian lama, Allah kurniakan nikmat persaudaraan pada ahli kedua-dua parti.

Menurut Pak Hamka lagi, apabila kita bersatu atas keikhlasan berpegang teguh pada tali Allah sebagaimana dikehendaki ketika itu jiwa kita menjadi kebal dan besar.

Dengan kesatuan ini kata beliau lagi tidak ada sesiapa dapat mempermain-mainkan kita lagi. Walau satu dunia bersatu sekalipun untuk menentang kita, tambah beliau, mereka tidak akan berupaya mengalahkan kita.

Demikianlah kekuatan kesatuan ummah ini. Percayalah jika kita ikhlas, bukan hanya Cameron Highlands, Semenyih atau terbaharu Rantau menjadi ganjarannya malah Insya Allah lebih besar daripada itu.

Kerana itu ahli-ahli dan.pimpinan Pas dan UMNO perlu yakin pada lorongan Allah SWT. Jangan sombong dengan siri-siri kemenangan ini tetapi jadilah resmi padi semakin berisi tunduk ke bumi.

Tok Mat dan haji Hadi
Allah takdirkan dua buah parti Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu UMNO dan Pas dapat bertaawun menjalin kerjasama yang sebelum ini sukar diusahakan atas pelbagai sebab. – UTUSAN ONLINE

Perteguhkan ikatan ini. Musuh akan cuba meleka dan memperdayakan kita.

Sentiasa pertegaskan bahawa kita bersatu demi mahu memartabat agama, bangsa dan negara.

Tugas kita tidak berhenti di Rantau malah menjadi semakin besar dan mencabar. Jalannya perlu diteroka dengan sabar, cermat dan bijaksana oleh pimpinan kedua-dua parti.

Ingatlah firman Allah SWT bahawa penyatuan seumpama ini bukan kerja dan rancangan manusia tetapi kerja-Nya. Bukan boleh dicipta dan dibeli tetapi atas kehendak-Nya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran surah al-Anfal ayat 63 yang bermaksud:

“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Kerana itu berasa gerunlah pimpinan kami dari UMNO dan Pas yang kami sayangi.

Berunding dan bermuafakatlah cara terbaik tanpa ada agenda peribadi selain sepakat mendaulatkan kebesaran-Nya. Ahli-ahli laksanakanlah keputusan parti dengan bijak dan berani.

Insya Allah umat Melayu dan rakyat Malaysia bersama anda.

Tahniah Tok Mat dan Barisan Nasional (BN). Perjuangan kita belum berakhir malah baru bermula. – UTUSAN ONLINE

***Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ia sama sekali tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini