ALOR SETAR 14 April – Kekalahan demi kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk terbaharu di Rantau semalam, menunjukkan gabungan tersebut sedang menerima balasan dengan apa yang telah dilakukan oleh mereka selama ini.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kebangkitan rakyat sudah tidak mampu disekat lagi, malah jika berlaku PRK selepas ini mereka akan terus mengalami kekalahan.
Katanya, PH terpaksa menjawab pelbagai isu dan janji termasuk mencipta pelbagai fitnah serta propaganda sehingga menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Rakyat tidak mahu dengar alasan, mereka mahukan hasil, apa yang PH janji perlu ditunaikan. Ternyata PH gagal buat perubahan, hanya tahu cari salah kerajaan lama dan bersandar padanya.
“Mereka (PH) menang PRU-14 dengan mencipta fitnah, merancang propaganda serta melaksanakan agenda pecah dan perintah. Kini mereka sedang menerima balasan. Rakyat mula sedar dan kebangkitan ini tidak akan dapat disekat. Saya yakin, jika ada lagi PRK, PH akan tewas satu demi satu PRK,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selepas memenangi Parlimen Cameron Highlands dan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebelum ini, Barisan Nasional (BN) terus mencipta kejayaan cemerlang apabila mengekalkan DUN Rantau dalam PRK yang berlangsung semalam.
Keputusan itu menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, meskipun ramai pihak cuba menggagalkan serta memandang rendah usaha perpaduan ummah antara Pas dan UMNO namun tindakan seperti itu nyata tidak memberi kesan kepada
rakyat yang menyokong kerjasama tersebut.
“Perpaduan ummah adalah satu rahmat daripada Allah SWT. Yang cuba meremeh-remehkan perpaduan ummah atau cuba menggagalkannya dengan pelbagai gelaran dan andaian, mereka ternyata tidak berjaya… Malah kerjasama ini semakin kukuh,” katanya.
Selain itu, kata beliau, antara faktor kekalahan PH di dalam PRK adalah disebabkan perbalahan dalaman antara kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah tidak dapat disembunyikan lagi.
Malah katanya, beberapa keputusan yang dilakukan kerajaan termasuk cuba mengenepikan Raja-raja Melayu khususnya dalam isu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengundang kemarahan rakyat.
“Isu- isu besar yang timbul ini adalah akibat PH meredah apa sahaja di depan demi matlamat jangka pendek sehingga menimbulkan resah dalam kalangan rakyat. Yang terbaharu mengenai Statut Rome apabila rakyat melihat PH cuba mengenepikan Raja-raja Melayu dalam soal tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE











