SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan pihak tertentu yang menuduh suruhanjaya itu bersikap ‘berat sebelah’ dan hanya menguatkuasakan undang-undang terhadap satu parti sahaja sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, setakat ini, Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya telah menerima 16 laporan kesalahan berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melibatkan kedua-dua parti.
“Ia melibatkan lapan kesalahan daripada parti A dan lapan lagi parti B, semua sama rata, bukan terhadap parti A sahaja atau parti B sahaja, ini adalah fakta kami SPR adalah satu institusi yang adil,” katanya selepas meninjau proses semakan isi peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada Ketua Tempat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Beliau berkata, antara 16 kesalahan itu melibatkan kempen tanpa permit serta pemasangan gegantung yang tidak mengikut peraturan.
Bagaimanapun, Azhar Azizan berkata, SPR tidak bercadang untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap pihak yang membuat tuduhan itu sebaliknya hanya menasihatkan pihak terbabit menghentikan perbuatan tersebut. – Bernama










