KUALA LUMPUR 11 April – Polis sedang mengesan tiga suspek lelaki yang dipercayai terlibat dengan rompakan kedai emas di dalam pasar raya di kawasan Manjalara, Kepong, di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya berkenaan menunjukkan suspek memakai topi keledar dan topeng muka.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek masuk melalui pintu kecemasan di tingkat satu pasar raya tersebut dengan menggunakan pemutar skru.
“Selepas itu, suspek melarikan diri sebelum terlibat kemalangan di hadapan stesen minyak di Kepong,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mazlan, suspek kemudian melarikan diri selepas dibantu seorang individu yang dipercayai rakan mereka.
Susulan kejadian itu, pihaknya telah merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC, sebuah beg berisi barangan kemas yang dicuri, sebilah pisau, sarung tangan dan satu topeng muka.
“Kita percaya suspek gagal membawa barangan kemas yang dirompak akibat kemalangan tersebut dan usaha untuk mengesan kesemua suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 kerana melakukan rompakan berkumpulan bersenjata dan cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (03-4048 2225). – UTUSAN ONLINE










