DALAM banyak-banyak acara sukan, badminton terus menjadi pertaruhan Malaysia untuk memburu pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik.
Itu satu cita-cita atau keazaman yang realistik buat kontinjen negara yang bakal bertandang pada temasya di Jepun 2020 nanti. Tidak siapa dapat menafikan, walaupun, sukan-sukan lainnya seperti acara terjun dan lumba basikal mampu melakukan kejutan di sebalik melihat potensi besar acara badminton.
Namun, ramai pula yang mula meragui kemampuan badminton untuk memenuhi harapan jutaan peminat hanya melihat prestasi hambar para pemain negara pada kejohanan Terbuka Malaysia, minggu lalu. Barisan pemain kita daripada acara perseorangan sehinggalah kepada beregu, hampir kesemuanya tumbang awal.
Hanya acara beregu campuran tampil sehingga ke separuh akhir, tetapi gagal meneruskan cabaran seterusnya. Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke separuh akhir tetapi tewas kepada pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.
Kegagalan pemain-pemain negara sepatutnya disahut dengan pengajaran berguna. Masih ada masa untuk mereka kembali bangkit bagi cabaran yang lebih besar seperti Olimpik. ‘Mengalah’ lebih awal ada hikmah tersendiri untuk bangkit pada cabaran sebenar.
Bagi kebanyakan pemain dunia, mereka begitu teliti dalam memilih ‘bila waktunya yang sesuai untuk berada di kemuncak prestasi.’
Bagi sesetengah pemain pula, prestasi mereka merudum selepas menikmati kemuncak kejayaan. Kepada para pemain negara yang sudah berada dalam senarai ke Olimpik, simpanlah kegagalan itu sebaik-baiknya untuk bangkit dengan prestasi terbaik di Tokyo nanti. Tiada yang mustahil.
Bumi Jepun bukan asing buat para pemain badminton negara. Kalau menyingkap rekod pemain kita di Jepun, banyak kejayaan yang dilakar. Bermula dengan Roslin Hashim bergelar juara perseorangan pada 2001, Lee Chong Wei pula merakamkan empat kemenangan di negara matahari terbit itu.
Chong Wei memenanginya sebanyak empat kali bermula pada tahun 2007 diikuti 2010, 2013 dan 2016.
Selain menguasai acara perseorangan, Razif dan Jalani Sidek mengungguli acara beregu pada tahun 1986 diikuti oleh Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock pada 1998 dan pasangan, Chan Chong Ming dan Chen Choon Eng. Dan keterampilan Malaysia di Jepun turut ditambah dengan kejayaan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menerusi acara beregu campuran.
Kesemua rekod ini membuktikan bahawa Jepun bagaikan ‘rumah kedua’ kepada para pemain negara untuk tampil menyerlah.
Bezanya Sukan Olimpik dan Terbuka Jepun mungkin dari segi intensiti. Sudah tentulah persaingan untuk merebut pingat emas Olimpik lebih kuat cabarannya. Apapun, dalam lingkaran sukan badminton ia menampilkan barisan pemain yang tidak banyak beza dengan Terbuka Jepun.
Inilah yang menguatkan keazamanan kita untuk melakukan sesuatu. Mungkin juga Olimpik 2020 bakal menyaksikan kehadiran sekurang-kurangnya sebutir pingat emas yang sekian lama kita nanti-nantikan.
Ini cuma ramalan atau bayangan. Terserah kepada pemain untuk memikirkan cara mana untuk menggunakan kesempatan di Jepun nanti. Dengan menggandakan sedikit usaha, kita semua percaya Malaysia juga mampu meraih pingat emas.










