JAKARTA 11 April – Kertas undi pilihan raya umum (Pemilu) Indonesia yang telah ditandakan didakwa ditemukan oleh sebilangan warga Indonesia di sebuah premis di Selangor, Malaysia.
Detik News melaporkan, Pengawas Pemilu Luar Negara (Panwaslu) Kuala Lumpur, Yaza Azzahara berkata, pihaknya mendapat maklumat itu kira-kira pukul 2 petang ini dan terus mengadakan pemeriksaan di lokasi penemuan kertas undi tersebut.
“Kertas undi itu sah dan memang sudah ditandakan,” jelasnya.
Undian awal bagi Pemilu warga Indonesia di Malaysia akan diadakan pada 14 April ini.
Kertas-kertas undian tersebut dibungkus dalam plastik hitam dan diletakkan di sebuah rumah kedai di Bangi, Selangor.
Menurut Yaza, kertas undi itu telah ditandakan untuk gandingan calon nombor satu Joko Widodo (Jokowi)-Ma’ruf Amin serta beberapa calon legislatif lain.
“Jadi berdasarkan contoh yang kita ambil, terdapat beberapa kertas undi yang sudah ditandakan. Ini sudah kami sampaikan ke Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu),” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) telah menghantar dua pegawai, Hasyim Asyari dan Ilham Saputra untuk memeriksa penemuan kertas undi tersebut.
“Sebenarnya kami belum menerima maklumat lengkap dan menghantar dua pegawai ke Malaysia untuk siasatan lanjut,” jelas Pesuruhjaya KPU, Wahyu Setiawan.
Setiausaha Pasukan Kempen Nasional (TKN) Jokowi-Ma’ruf di Malaysia, Datuk M. Zainul Ariffin memberitahu, pihaknya mencurigai penemuan kertas undi berkenaan dan yakin sengaja dibuat oleh individu tertentu untuk mencetuskan ketegangan sempena Pemilu. – Agensi










