JOHOR BAHRU 11 April – Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM15,000 terhadap seorang Penolong Pegawai Belia dan Sukan kerana menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembekal pada Oktober 2015.
Tertuduh, Norhayati Iskar, 37, yang bertugas di Pejabat Belia dan Sukan Segamat, mengaku bersalah sejurus selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah RM10,000 tanpa balasan daripada pemilik Syarikat SA Affandi Enterprise, Syed Azrol Affandi Syed Rahmad yang merupakan pembekal perkhidmatan bagi ‘Liga Sukan Untuk Semua Daerah Segamat 2015’ di Pejabat Belia dan Sukan daerah itu pada Oktober 2015.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yunus Mohamed mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh meminta RM10,000 wang pendahuluan bagi menjalankan program yang akan dijalankan pada bulan Oktober 2015 daripada syarikat pembekal dan menggunakannya untuk bercuti di Kundasang, Sabah bersama-sama rakannya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah meringankan hukuman dengan alasan dirinya sudah insaf dan mahu menjadi manusia yang baik.
Kamarudin selepas menjatuhkan hukuman tersebut turut memerintahkan hukuman penjara Norhayati ditambah lagi setahun sekiranya wanita itu gagal membayar denda.










