KESEPAKATAN dan konsistensi semak dan imbang dalam blok pembangkang di Dewan Rakyat memberi satu cerminan terbaik dalam proses sistem demokrasi berparlimen Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
Bukti terbaik pada 9 April lalu apabila muafakat pembangkang mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat yang terbaik untuk rakyat. Kerajaan PH tidak memperoleh dua pertiga majoriti undi bagi pindaan Fasal (2) Perkara 1 Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan.
Ini suatu perkara yang cukup bersejarah dalam institusi keparlimenan di negara ini. Malahan kegagalan mahu melaksanakan sesuatu dasar hanya pada kosmetik mendapat undian dua pertiga ini juga boleh ditafsir sebagai satu undi tidak percaya kepada kerajaan sedia ada.
Ini sesuatu yang serius kerana kerajaan PH dilihat tidak berwibawa selaku Eksekutif, malahan dilihat tidak menampakkan kesungguhan untuk mengambil kira pandangan pembangkang di Dewan Rakyat.
Mereka mengesyorkan pindaan itu perlu selari Perjanjian Malaysia 1963 dengan merujuk terlebih dahulu Jawatankuasa Terpilih (Special Select Committee Parliament); membahas di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak serta memasukkan dengan jelas perkataan “Berdasarkan Semangat Perjanjian Malaysia 1963”.
Atas dasar itu, semak dan imbang diperkukuhkan dalam muafakat pembangkang wakil rakyat sebagai salah satu daripada ciri-ciri dalam pengamalan doktrin pengasingan kuasa yang terdahulunya diperkenalkan Barat yang membenarkan pertindanan bidang kuasa antara tiga badan utama dalam pemerintahan sesebuah kerajaan iaitu badan Eksekutif, badan Perundangan (Parlimen) dan badan Kehakiman.
Ini jelas ditunjukkan wakil rakyat dalam kalangan Gabungan Parti-Parti Sarawak, Pas dan BN yang telah mengambil pendirian tidak mengundi mahu pun berkecuali sebagai kuasa semak dan imbang.
Hasil keputusan pengundian memperlihatkan hanya 138 daripada 221 wakil rakyat mengundi bersetuju RUU itu diluluskan manakala 59 wakil rakyat tidak mengundi.
Keputusan undian belah bahagi menetapkan mana-mana pindaan Perlembagaan hanya boleh dipinda jika mendapat undi majoriti dua pertiga atau 148 kerusi daripada keseluruhan kerusi di dalam Dewan Rakyat.
WARUNG KOPI
Inilah kebaikan mempunyai blok pembangkang yang ramai dan sepakat sebagai semak dan imbang. Seperti kata beberapa wakil rakyat yang membahaskan pindaan Fasal (2) Perkara 1 bahawa perkara hendak dipinda itu bukan suatu perkara boleh dibincang dan dipersetujui di warung kopi semata-mata.
Saya sangat bersetuju dengan pandangan wakil rakyat yang mempunyai keberanian dan konsistensi bahawa kedudukan Sabah dan Sarawak perlu melalui proses diperhalusi, diperincikan dan dicapai dengan semangat rakan sekutu.
Namun tidaklah dilaksanakan secara terburu-buru seperti mana yang dilihat dalam pembentangan Bacaan Pertama dan Bacaan Kedua dalam RUU berkenaan.
Semak dan imbang ini adalah satu alat kawalan dalam Perlembagaan, malahan saya boleh sifatkan ia melengkapkan jaminan terhadap kerajaan di samping mengukuhkan tanggungjawab badan Legislatif.
Sejarah pernah menyaksikan dalam perundangan, rakyat adalah penyemak ke atas golongan bangsawan dan bangsawan merupakan penyemak ke atas rakyat.
Sementara Raja pula penyemak bagi kedua-duanya. Tiga kuasa yang berbeza iaitu rakyat, bangsawan dan eksekutif bersama-sama menggerakkan sistem kerajaan walaupun mempunyai arah atau matlamat yang berbeza.
Akhirnya matlamat ini akan membentuk satu garis sebenar kebebasan dan kebahagiaan masyarakat seperti mana yang dikehendaki rakyat Sabah dan Sarawak selari dengan Perjanjian Malaysia 1963.
PERKENAN MAJLIS RAJA-RAJA
Saya tertarik dengan perbahasan seorang wakil rakyat dari Pas yang mengutarakan soal pertama dan utama iaitu adakah pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan diperkenankan ke Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan implikasi kesan dari pindaan itu mungkin melibat kuasa sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri tidak bersultan.
Walaupun tampak tidak mempunyai kaitan dengan pindaan itu, tetapi kekhuatiran wakil rakyat Pas mempunyai asas yang kukuh.
Ini kerana sebarang pindaan tidak diperhalusi dan diperincikan boleh membuka pintu yang tidak wajar dan tidak memihak kepada peranan dan tanggungjawab institusi Raja-raja.
Seperti di United Kingdom, mekanisme semak dan imbang bermula pada era revolusi 1688 yang melahirkan persetujuan iaitu kuasa memerintah dikongsi oleh Raja dan Parlimen.
Dengan persetujuan itu undang-undang boleh dibuat, dipinda atau dimansuhkan melalui parlimen yang terdiri daripada House of Lords dan House of Commons. Proses tersebut perlu dibuat melalui Akta Parlimen.
Persetujuan itu juga boleh menjamin kebebasan hakim tetapi mereka tidak boleh mempersoalkan sama ada undang-undang diluluskan oleh Parlimen itu sah atau sebaliknya walaupun pada era moden ini, semak dan imbang juga melalui pelbagai proses yang bersesuaian dengan sezamannya.
KOSMETIK, RETORIK
Hebatnya kuasa semak dan imbang ini adalah dalam hubungan antara Parlimen dan Eksekutif yang memerintah terdapat beberapa mekanisme boleh dilakukan. Antaranya usul tidak percaya yang boleh memaksa seseorang Perdana Menteri atau anggota Kabinetnya meletak jawatan.
Ini antara contoh senarai undi tidak percaya British sejak bertukar daripada Kingdom of Great Britain kepada United Kingdom.
Usul pertama undi tidak percaya ini adalah terhadap menteri Sir Robert Walpole pada 1742. Beliau menjadi menteri di antara 1721 dan 1742 dan perdana menteri de facto pertama Britain.
Selepas itu, berlaku 21 lagi undi tidak percaya dan semuanya berhasil. Kali terakhir ialah terhadap Perdana Menteri Callaghan pada Mac 1979, yang memaksa beliau mengadakan pilihan raya umum bulan Mei. Beliau dikalahkan oleh Parti Konservatif pimpinan Margaret Thatcher.
Rentetan dari peristiwa bersejarah di Dewan Rakyat malam kelmarin, kegagalan Kerajaan PH mendapatkan mandat melaksanakan pindaan yang menepati aspirasi sebenar dan kesetaraan seadilnya untuk Sabah dan Sarawak menuntut pertanggungjawaban dari Kabinet.
Seharusnya menteri yang bertanggungjawab hendaklah mengambil langkah bermaruah untuk meletakkan jawatan atas episod yang sangat memalukan ini.
Saya hendak memaklumkan Jawatankuasa Kebangsaan Mengenai Hak Perlembagaan Sabah dan Sarawak sudah ditubuhkan kerajaan terdahulu (Kerajaan Barisan Nasional) ke arah memulihkan hak-hak Sabah dan Sarawak.
Penubuhan jawatankuasa peringkat persekutuan telah dipengerusikan bersama oleh mantan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, lebih dua tahun lalu.
Sebenarnya kononnya langkah ke depan kerajaan PH dalam hal kedudukan Sabah dan Sarawak agak jauh tercicir dan rakyat perlu menyedari akan retorik kerajaan PH yang berpanjangan.
Malahan pindaan yang gagal diluluskan itu sekadar bersifat kosmetik semata-mata dan langsung tidak mencerminkan kelangsungan serta harapan rakyat Sabah dan Sarawak sendiri.
Ironinya BN tidak pernah menolak pindaan Fasal (2) Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi kita mengambil sikap berkecuali dengan menggunakan kuasa semak dan imbang di atas kegagalan kerajaan PH melaksanakan sesuatu tanpa kajian, rundingan dan pendekatan inklusif.
DATUK DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia.










