KUALA LUMPUR 11 April – Pelaksanaan Levi Pelepasan 2019 oleh kerajaan Malaysia dijangka mengurangkan jumlah penumpang sebanyak 835,000 setahun yang berlepas dari negara ini, menurut analisis Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Analisis itu juga mendapati sumbangan sektor penerbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut sebanyak AS$419 juta (RM1.72 bilion), kehilangan 5,300 pekerjaan serta menghakis daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Naib Presiden Serantau Asia Pasifik IATA, Conrad Clifford menggesa kerajaan Malaysia mempertimbangkan semula dan tidak melaksanakan levi pelepasan kerana berpotensi mendatangkan lebih banyak kesan negatif kepada ekonomi negara.
Menurut beliau, tujuan kerajaan memperkenalkan levi itu adalah untuk meningkatkan hasil dalam jangka masa pendek, tetapi sebarang tindakan yang melemahkan permintaan perjalanan hanya memburukkan lagi industri penerbangan.
“Industri penerbangan diakui antara pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sebarang tindakan yang menyekat potensinya hanya akan merugikan ekonomi negara.
“Levi itu juga bercanggah dengan dasar yang diterima berkenaan cukai yang diterbitkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). Sebagai anggota majlis, Malaysia seharusnya menunjukkan kepimpinan dalam mematuhi dasar ICAO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah membacakan usul Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat.
Kadar levi yang dicadangkan RM20 ke negara Asean dan RM40 ke lain-lain negara.
Sektor penerbangan pada 2017 menyokong 450,000 pekerjaan dan menyumbang sejumlah AS$10.1 bilion (RM41.56 bilion) kepada KDNK.
Sektor pelancongan menyumbang 13.4 peratus daripada jumlah KDNK disokong oleh pengangkutan udara. – UTUSAN ONLINE










