MB Johor: Pakatan Harapan tiada kesepakatan - Utusan Malaysia

MB Johor: Pakatan Harapan tiada kesepakatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 11 April – Dewan Muda Johor (DMJ) kecewa apabila sehingga hari ini tiada noktah perdebatan dalam soal pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu.

Lebih memburukkan keadaan, menurut DMJ, apabila Putrajaya seolah-olah menjadikan isu peletakkan jawatan Menteri Besar Johor sebagai satu lagi permainan politik dengan mengheret dan memperlihatkan Institusi Kesultanan Johor dalam krisis ini.

Tambah DMJ, tindakan itu bukan sahaja keterlaluan dan biadap tetapi turut mencerminkan bagaimana pemimpin yang diangkat hari ini benar-benar tidak faham dan tidak menghayati pengertian Rukun Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam isu terbaharu lantikan Menteri Besar Johor memperlihatkan lagi ruang kepincangan yang lebih besar dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Ia semakin buruk dan sudah pasti ia akan mengurangkan lagi keyakinan rakyat Johor terhadap sejauh mana kemampuan PH mampu memimpin dan mentadbir negeri ini lebih baik daripada kepimpinan dahulu,” menurut DMJ dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkara itu, kata DMJ, dapat dilihat apabila kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan sahaja tidak bersetuju Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar campur tangan dalam hal lantikan Menteri Besar Baharu tetapi bercanggah dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan Sultan Johor sahaja diberi kuasa melantik Menteri Besar.

Kenyataan bercanggah itu, tambah DMJ, tidak boleh dipandang ringan memandangkan kedua-dua pemimpin itu merupakan Pengerusi dan Presiden Bersatu Malaysia.

“Justeru, DMJ khuatir jika tiada kesefahaman dalam PH dalam isu itu, lantikan Menteri Besar Baharu juga tidak akan membawa apa-apa makna kepada rakyat dan negeri ini kerana Menteri Besar akan terus menjadi boneka dan tidak mendapat sokongan penuh Exco dan wakil rakyat blok kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini