Malaysia tempat ke-19 e-pembayaran kerajaan - Utusan Malaysia

Malaysia tempat ke-19 e-pembayaran kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 April – Malaysia menduduki tempat ke-19 antara 73 buah negara dalam sebuah kaji selidik antarabangsa yang menilai kerajaan dengan mengukur kebolehan pembayaran elektronik (e-pembayaran) berdasarkan beberapa penunjuk seperti dasar dan prasarana.

Penilaian di dalam Kedudukan Penggunaan E-Pembayaran Kerajaan (GEAR) itu merupakan indeks antarabangsa Unit Perisikan Ekonomi (EIU) dan kajian penanda aras ditauliahkan oleh Visa.

Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon berkata, dalam kategori perniagaan-ke-kerajaan (B2G), Malaysia berada di kedudukan pertama dengan markah penuh 100 mata bersama Australia, Kanada, Perancis, Jerman dan Singapura.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kerajaan Malaysia sudah mengambil langkah besar untuk menggerakkan negara ke arah era digital.

“Markah Malaysia yang antara tertinggi di Asia Tenggara membuktikan usaha-usaha kerajaan demi mentransformasikan negara ini ke negara digital.

“Kita akan meneruskan kerjasama bersama mereka, untuk memperkukuhkan dan mempromosikan lagi pembayaran digital kepada semua warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

EIU menilai sejauh mana negara-negara utama di seluruh dunia membolehkan penggunaan e-pembayaran mengikut tujuh kriteria iaitu transaksi antara warganegara dan kerajaan (C2G), kerajaan-ke-warganegara (G2C), B2G, kerajaan-ke-perniagaan (G2B) dan juga kemudahan prasarana, sosio ekonomi dan dasar untuk membolehkan e-pembayaran.

Norway berada di kedudukan pertama dalam senarai GEAR, dengan markah 89.7 mata dalam tujuh kategori tersebut diikuti Perancis (89.4 mata) dan Denmark (88.8 mata). Jumlah markah Malaysia ialah 78.8 mata.

Dalam kategori-kategori C2G dan G2C, Malaysia berkedudukan kelapan. Faktor seperti prasarana dan suasana sosio ekonomi juga memainkan peranan penting bagi meningkatkan penggunaan pembayaran digital.

Malaysia berada di kedudukan ke-28 dalam kategori prasarana dan ke-34 dalam kategori sosial dan ekonomi.

Malah, Malaysia juga mendapat penilaian yang amat positif dalam kategori dasar dan komitmen kerajaan terhadap keselamatan e-pembayaran, sokongan bagi inovasi teknologi kewangan (fintech) dan kebolehcapaian kewangan, dengan markah penuh 100 mata bagi kriteria tersebut.

Habis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini