KUALA LUMPUR – Kedegilan dua majikan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja di premis mereka membawa padah apabila mereka ditahan dalam Ops Bersepadu di sekitar Kampung Baru di sini semalam.
Dalam operasi bermula pada pukul 9.50 malam itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Difahamkan, operasi terbabit turut berjaya menahan seramai 85 PATI yang terdiri daripada 59 lelaki dan dua wanita warga Thailand (65), Indonesia (17), Pakistan (1), Myanmar (1) dan Bangladesh (1) berusia dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi telah dilakukan di lima lokasi berbeza di kawasan Kampung Baru selepas pihaknya menerima aduan berhubung lambakan warga asing di kawasan terbabit.
“Kita telah menjalankan pemeriksaan terhadap 120 warga asing dan dari jumlah tersebut seramai 33 individu telah dibebaskan kerana memiliki dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah.
“Kita juga telah menahan dua majikan berusia dalam lingkungan 40-an kerana didapati menggaji PATI di premis mereka sebagai pelayan dan tukang masak sedangkan mereka hanya menggunakan pas lawatan sosial,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mengulas lanjut, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang masih berdegil menggaji PATI sebagai pekerja di premis mereka.
“Mereka (majikan) harus menggunakan saluran yang betul dalam mengambil mana-mana warga asing untuk bekerja di premis mereka dan bukannya mengambil jalan mudah yang mampu mengundang masalah besar kepada mereka serta pekerja asing itu sendiri,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas atau permit dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana menggajikan warga asing tanpa permit kerja yang sah. – K! ONLINE










