KUALA LUMPUR 11 April – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memanfaatkan kemudahan pembiayaan Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Modenisasi (SLSAM) sebanyak RM517 juta yang ditawarkan oleh pihak Malaysia Development Finance Berhad.
Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, pihaknya telah meluluskan pinjaman berjumlah RM2.2 bilion di bawah SLSAM untuk 350 PKS tempatan sejak 2007.
Kata beliau, SLSAM juga merupakan pembiayaan terbesar dari segi saiz dana bagi enam skim di bawah pengurusan MIDF.
“Ia bermatlamat membantu pengusaha tempatan melaksanakan aspek automasi dalam proses pembuatan selain menyokong perjalanan mereka agar seiring tuntutan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0),” katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MIDF dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) di sini hari ini.
MoU tersebut bertujuan untuk mempromosikan Industri 4.0 dan membiayai kemudahan pendanaan bagi PKS tempatan menerusi pelbagai pakej bantuan kewangan.
Menurut Charon Wardini, kerjasama itu sebagai bukti usaha dan komitmen MIDF dalam ekosistem MTDC bagi meningkatkan kemampuan dan perkhidmatan atau kemudahan dan infrastruktur pembuatan dalam usaha melonjakkan produktiviti mereka. UTUSAN ONLINE











